Konflik dalaman
Secara terperinci, wanita dwi kerjaya ini menghadapi konflik dalaman disebabkan oleh pelbagai permintaan dari ahli keluarga, iaitu suami, anak, ibu bapa dan tidak ketinggalan majikan di tempat kerja. Kajian menunjukkan hampir 70% mengatakan ia berlaku kerana berkejaran untuk menghabiskan kerja pejabat dan kerja rumah.
Masa tidur
Seramai 34% dari wanita tersebut terpaksa mengorbankan waktu tidur mereka untuk memastikan kerja rumah mereka dapat dibereskan. Malah ada yang bangun seawal lima pagi dan tidur lewat satu malam setiap hari. Mereka tidak terdaya menjadi superwomen yang perlu menggalas hampir semua tanggungjawab dirumah di samping mengejar kerjaya.
Status kesihatan
Antara punca stres di kalangan pasangan ini kerana terpaksa berkejaran untuk mengimbangkan antara kerjaya dan tanggungjawab dirumah. Dapatan kajian dari 1000 orang wanita kerjaya, didapati 55% peratus dari mereka mengalami lebih dari satu bentuk masalah kesihatan. Penyakit yang dihidapi adalah seperti kencing manis, sakit lutut, migrain, sengal sengal badan, insomnia, pening, sakit pinggang, kemurungan, sering selesema dan demam, rasa kebas pada bahagian badan tertentu dan darah tinggi. Selain dari itu seramai 40% mengatakan berat badan mereka telah meningkat disebabkan kecenderungan untuk makan bila stres dan penglihatan mereka semakin kabur (32%) disebabkan oleh penggunaan komputer.Secara keseluruhan 10% sahaja wanita yang mengaku mereka sihat, dan 71% merasakan mereka agak sihat, 16% bersetuju mereka tidak berapa sihat dan 3% mengatakan mengatakan mereka langsung tidak sihat. Ini adalah satu tanda amaran yang memerlukan tindakan segera. Menurut kajian yang dijalankan di Korea, wanita yang menanggung pelbagai jenis penyakit disebabkan oleh dwi kerjaya jika berterusan selama 10 tahun akan mengalami sindrom kemurungan yang digelar sebagai Whabyung. Apa yang membimbangkan ialah hampir 17% dari wanita dalam kajian ini mengatakan mereka telah mengalami kesemua penyakit ini lebih dari 7 tahun. Berkemungkinan ada wanita dari kajian ini mewakili sebahagian dari 400000 ribu yang mempunyai penyakit mental ini?
Mereka terpaksa melakukan kesemua kerja rumah secara sendirian. Hanya 17% sahaja suami yang sedia membantu isteri membuat kerja-kerja rumah. Kerja yang dilakukan oleh suami adalah dikategorikan sebagai kerja sampingan atau "bantuan bila perlu". Maka tidak menghairankan jika seramai 78% merasakan kelesuan mental apabila berada di tempat kerja. Sehubungan dengan itu juga, apabila menghadapi masalah dirumah maka besar kemungkinan stres ini akan dibawa bersama di tempat kerja. Apa yang berlaku ialah rakan rakan di tempat kerja juga akan merasakan bahang dari stres individu tersebut.
Bersama Anak dan Ibu Bapa
Ramai wanita (70%) dalam kajian ini mengalami konflik dalam diri kerana merasakan tidak berlaku adil dalam menjaga kebajikan anak anak mereka. Beban ini lebih terasa kerana hampir 90% wanita dalam kajian ini tidak ada pembantu rumah atau keluarga terdekat untuk membantu menjaga anak anak mereka.
Malah wanita ini juga mengalami dilema bukan sahaja mereka tidak dapat memberikan penjagaan yang secukupnya pada anak anak tetapi juga untuk ibu atau bapa mereka yang uzur. Wanita kerjaya seumpama ini dikenali sebagai "wanita generasi tersepit", kerana mereka terpaksa mengimbangkan antara tanggungjawab sebagai ibu, isteri dan anak. Di negara China disebabkan terlalu banyak sangat kes pengabaian orang tua, maka satu polisi telah digubal dimana ibubapa dibenarkan untuk membawa anak-anak ke muka pengadilan jika mengabaikan kebajikan orang tua mereka. Namun jika dilaksanakan di negara kita, apakah cara ini dapat melahirkan sebuah masyarakat penyayang?
Masa untuk diri dan Bersama Kawan
Kajian turut mendapati 40 % wanita mengatakan mereka tidak ada masa untuk bersantai dengan kawan. Bukankah menonton drama terkini, malah mendengar berita pun sudah tidak kesempatan. Malah lebih 50% wanita mengatakan bahawa tidak ada masa untuk memanjakan diri dengan urutan, ke Spa ataupun pusat rawatan kecantikan. Sehinggakan ada wanita dalam kajian ini yang mengeluh kerana masa cuti minggu adalah paling stres bagi mereka. Cuti dua hari itulah mereka gunakan segala tenaga untuk membereskan kain baju belum bergosok atau dibasuh, mencuci tandas dan membeli barang keperluan dapur. Menurut kajian juga masa santai untuk diri adalah penting untuk kesihatan mental seseorang diri. Apakah pengalaman seumpama ini boleh dikatakan sebagai satu deraan fizikal tetapi juga mental bagi wanita tersebut?
Bersama suami
Dalam hal suami pula, seramai 55% bersetuju mempunyai masa yang terhad untuk bersama pasangan mereka, kerana terlalu banyak kerja rumah maupun urusan pejabat yang perlu di laksanakan. Seramai 15% menjawab mereka tidak ingat bila kali akhir mereka bermesra dengan suami mereka. Seperti kata salah seorang responden "terlalu banyak tugas overtime di tempat kerja sehingga suami dirumah menjadi part time".
Malah 3% dari responden menjawab mereka mula sangsi dengan perubahan tingkah laku pada suami mereka yang tidak semesra dulu. Antara perubahan yang dimaksudkan ialah suami mereka kurang berkomunikasi, suami lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah bersama kawan, kurang ucapan kata kata mesra mahupun hadiah "kejutan" untuk hari jadi, hari ulang tahun berbanding dengan sebelum ini. Belaian mesra dan gurau senda juga amat kurang dalam hubungan harian mereka dan kecewa dari segi hubungan intim dengan suami mereka.
Sebuah lagi kajian yang dilakukan di kalangan 160 orang professional juga mendapati di hampir 11% mengalami konflik nafkah batin di kalangan pasangan kerja yang sudah berkahwin. Masalah dalam perkahwinan seumpama ini boleh mengganggu emosi dan boleh memberi kesan ke atas kerja mereka.
Benarkah pekerja wanita adalah toksik di tempat kerja.
Dengan adanya ramai graduan wanita, kini di tempat kerja kebanyakan jawatan pengurus atau pentadbir mula dipenuhi dengan wanita. Sebuah kajian yang dijalankan pegawai kerajaan menunjukkan bahawa jika ada pilihan, 90% dari responden, tidak kira lelaki atau perempuan lebih suka berkerja dengan bos lelaki. Antara sebabnya ialah bos lelaki dipandang sebagai lebih memahami masalah pekerja, tidak atau "angin pasang surut" boleh berkomunikasi secara berhemah. Tidak kurang juga yang memberikan pelbagai gelaran pada bos wanita mereka seperti singa betina, Hitler dan seumpamanya. Apakah ini petanda wanita lebih stres di tempat kerja? Atau permintaan ditempat kerja yang menjadikan mereka stres?
Wanita dan kerja
Seterusnya 50% wanita dalam kajian ini menyatakan hasrat mereka untuk berhenti kerja jika diberi peluang kerana kesukaran untuk mengimbangi tanggungjawab antara kerja dan keluarga. Tetapi pada hakikatnya 80% mengatakan mereka merasa gembira jika mempunyai kerjaya serta dapat membantu dalam ekonomi keluarga. Lebih lebih lagi yang mempunyai anak, kerana perlu mengasingkan sekurang kurangnya 7% dari pendapatan untuk perbelanjaan anak-anak. Jelas sekali menunjukkan bahawa wanita akan mengalami stres kerana tersepit antara dua keadaan.
Pendek kata wanita dwi kerjaya berhadapan dengan pelbagai cabaran iaitu penjagaan anak-anak, menjaga ibu bapa, beban kerja rumah, masalah dalam perkahwinan dan prestasi kerja.
Cara-cara Mengatasi Stress
1. Fahami Punca Stress
Selidik punca yang menyebabkan stress terjadi kepada anda
Cari masalah dalam diri satu persatu.
Cuba mengubah rutin dan kebiasaan yang dilakukan sehingga menyebabkan ketegangan.
2. Letakkan Keutamaan
Senaraikan keutamaan untuk dilakukan
Jangan melakukan semua pekerjaan tanpa memberi keutamaan kepada yang lebih penting.
Bertindak mengikut keutamaan untuk mengelakkan kita tidak membuang masa dan melakukan sesuatu yang merugikan.
3. Selesaikan Masalah Satu Persatu.
Selesaikan masalah kecil sebelum ia menjadi lebih besar.
Cuba selesaikan masalah yang ada pada waktu yang sesuai.
Dapatkan interaksi dan komunikasi yang lebih berkesan kerana ia boleh menyelesaikan pertelingkahan dan masalah
4. Menangis
Titisan air mata dapat menjadi teman dan menceritakan seribu masalah.
Menangis merupakan amalan yang sihat dan dapat melapangkan tekanan minda dan jiwa.
Wanita lebih mudah menzahirkan emosinya melalui tangisan berbanding lelaki yang lebih kerap memendam perasaan dan menganggap menangis adalah sesuatu yang mengaibkan.
5. Ketawa
Dapatkan masa untuk duduk bersama sahabat handai yang pandai berjenaka dan berhiburlah bersama mereka.
Ketawa membantu meningkatkan keupayan pernafasan dan denyutan jantung, kegiatan otot-otot dan suhu badan juga dapat diaktifkan.
Proses ketawa boleh membantu membuang toksid di dalam badan dan darah dapat berjalan dengan lebih lancar.
6. Bersenam Atau Beriadah
Bersenam tidak hanya mencergaskan fizikal, bahkan mental juga lapang setelah berpeluh
Ketegangan jasmani dapat dielakkan dengan kerana peredaran darah berjalan lancar kerana otot-otot digerakkan.
Bersenam juga boleh membakar lemak yang boleh membawa penyakit di dalam badan
7. Menyanyi, Menari Dan Menjerit.
Anda boleh melepaskan stress dengan menyanyi dalam bilik air tanpa mementingkan sangat senikata lagu tersebut sambil menitiskan airmata.
Pasang lagu yang rancak dan sesuai untuk menari sepuas hati sehingga berpeluh
Menjerit. Cari tempat yang sunyi dan jeritlah sekuat tenaga. Anda juga boleh mendapatkan tempat yang bising seperti di tapak pembinaan ataupun di dalam kebisingan waktu hujan dan di mana-mana mengikut kreativiti anda.
8. Curahkan Perasaan Dalam Diari.
-Bila anda merasa tertekan akibat marah, sedih, kecewa dan sebagainya, tulislah segala-galanya di dalam diari
Tidak perlu mencatakan secara detail perasaan anda. Cukup sekadar sedikit catatan. Simpan diari di tempat rahsia anda
Kebiasaanya kita akan tertawa apabila membaca semula catitan kita itu di lain masa kerana selalunya ianya terlalu remeh tidak seperti apa yang digambarkan didalam diari.
9. Luahkan Pada Sahabat Karib.
Mungkin anda melihat masalah itu terlalu berat, tetapi mungkin tidak pada sahabat karib anda. Luahkan kepada sahabat anda itu perasaan anda kerana ia dapat mengurangkan bebanan stress. Kemungkinan masalah anda akan selesai dengan pendapat dan pandangan sahabat anda itu
10. Meditasi Atau Bertafakur.
Melakukan penilaian semula terhadap pertuturan, perbuatan dan tingkahlaku yang telah dilakukan. Secara bertafakur dan bertenang anda boleh membuat pertimbangan, di mana yang patut diperbaiki dan punca timbulnya masalah sehingga anda dapat ketegangan.
Pejamkan mata rapat-rapat dan lihatlah ke dalam diri, siapakah anda sebenarnya dan apa yang anda ingini.
11. Tahu Had Kemampuan.
Tahu bila bermula dan sepatutnya berhenti serta jangan terlalu memaksa diri.
Jangan terlalu membuang masa kepada perkara yang anda tidak lagi mampu ditanggung.
Serahkan sesuatu urusan itu kepada orang yang lebih layak atau mahir melakukannya supaya anda tidak terus-terusan tertekan.
12. Berusaha Dan Berserah.
Bertawakallah kepada Tuhan setelah kita berusaha dengan sehabis baik.
Banyakkan melakukan perbuatan mahmudah (baik) dan menjauhkan perbuatan mazmumah (jahat) serta tambahkan amalan-amalan sunat seperti puasa, sembahyang, zikir dan sebagainya. Jangan biarkan hidup anda terus tertekan. Berusaha mendapatkan jalan keluar bagi setiap masalah.
13. Bersantai
Setelah berusaha keras melakukan rutin, anda perlu mencari sedikit ketenangan seperti berekreasi di taman, berkelah di sungai atau di mana-mana tempat yang dirasakan sesuai untuk memanjakan diri dan minda.
Lakukan juga kegiatan yang tidak terlalu membebankan minda dan memberikan keseronokan. Rehatkan diri sebentar sebelum memulakan tugasan baru.
14. Ambil Mudah.
Biar sebesar mana dugaan yang diterima anggaplah ia sesuatu yang mudah dan jangan terlalu membebankan fikiran. Jika boleh dan sesuai, bawalah tugasan yang tidak boleh diselesaikan itu pada keesokkan harinya.
Jangan terlalu membebankan masalah anda sehingga hidup jadi tak keruan dan sukar tidur atau kurang selera makan dan sebagainya.
15. Mengadu Kepada Kaunselor.
Sekiranya anda tidak mampu menyelesaikan masalah anda, dapatkan kaunselor yang boleh membantu. Kaunselor dapat membantu proses penyelesaian masalah dan tindakan yang perlu diambil. Kaunselor dapat memberitahu apa yang mungkin anda tidak sedar mengenai diri sendiri.
16. Berurut.
Berurut boleh membantu melancarkan perjalanan darah dan urat yang tegang serta keras dapat dikendurkan. Dapatkan mereka yang mahir dan bertauliah dalam teknik pengurutan.
Selepas berurut anda akan merasakan kelegaan pada tubuh badan.
Berurut walau kadangkala sedikit sakit, mampu menghilangkan ketegangan akibat bebanan stresss.
17. Refleksologi Atau Akupuntur.
Melalui refleksologi kaki, punca penyakit dapat dikenalpasti.
Akupuntur dapat melegakan kesakitan dan membantu menghilangkan tekanan yang ditanggung. Cara ini sesuai untuk mengatasi masalah stress.
18. Hipnosis
Anda berhadapan dengan pakar yang membawa anda memasuki satu suasana yang indah.
Anda kemudian disuruh membayangkan masalah yang dihadapi, airmata keluar tanpa disedari dan seterusnya anda disuruh melontarkan masalah tersebut jauh-jauh. Apabila tersedar anda berasa segar dan ringan tanpa masalah.
Teknik ini sebenarnya bermain dengan fikiran bawah sedar dengan membersihkan masalah yang menganggu tanpa disedari.
19. Terima Keadaan Seadanya.
Jangan mengharapkan sesuatu keadaan berubah mengikut kehendak kita kerana tidak semua yang kita ingini akan menjadi kenyataan. Dalam keadaan ini ada baiknya jangan terlalu mengharap sesuatu yang terlampau hebat supaya anda tidak merasa terlalu kecewa jika tidak memperolehinya.
Terima keadaan seadanya dan berbahagia dan menghargai apa yang ada tanpa membandingkan dengan apa yang orang lain dapat.
20. Amalkan Sikap Dan Gaya Hidup Sihat.
Bersikap terbuka dalam semua perkara dengan membuka minda dan anda sedia menerima sesuatu bencana. Sedar dan mensyukuri bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan dari Allah Taala dan ada hikmah disebaliknya. Gunakan kelebihan fikiran yang dikurniakan Tuhan untuk mengatasi masalah mendatang. Amalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan seimbang dan hidup secara teratur serta terurus dan jangan melakukan kegiatan yang tidak sihat dan merosakkan diri dan kehidupan.